Aku...

Assalamualaikum.

Dua tahun aku tak menulis apa apa...
Seakan aku lupa yang aku ada blog.

Banyak perkara yang berlaku dalam masa dua tahun ni.
Banyak perkara yang aku tak ingat dan aku tak nak ingat.
Tapi yang aku ingat...

Nyawaku dah jadi suami orang
Semoga dia jadi suami yang baik
Semoga dia jadi ayah yang baik
Semoga dia kekal terus menjadi anak yang baik

Jantung hatiku dah pun masuk asrama
Semoga dia belajar bersungguh sungguh dan lapang hatinya menerima ilmu
Semoga dia tabah dalam hari harinya berjauhan dengan keluarga
Semoga ilmu yang dia dapat memberi manafaat untuk dirinya dan orang lain

Aku pula dah mula melangkahkan kaki mengejar impianku sendiri
Menjadikan laut teman setia
Desiran ombak kawan ketawa
Pasir di pantai pengubat lara
Mencari Nemoku yang entah dimana

Semoga kalian semua para pembaca juga seperti aku
Tidak pernah putus asa dalam usaha mencapai impian
Walau apa pun halangan yang datang melanda
Hidup cuma sekali
Jadikanlah hidup itu hidup yang penuh bermakna
Didunia dan diakhirat

Wasalam...



Berakhirnya 2014...

Assalamualaikum...

Tinggal beberapa hari saja lagi, tahun 2014 akan meninggalkan kita. Masa untuk aku mengimbas kembali apa yang telah berlaku dalam tahun ini untuk aku jadikan pengajaran untuk aku menempuh masa akan datang...

January 2014

Permulaannya dengan berjalan jalan dengan keluarga. Macam macam tempat kami pergi. Sunway Lagoon, pameran Doremon, tengok wayang.. semuanya mengikut waktu En.Teddy terasa sihat. Tapi kadang kala, dia sihatkan diri juga untuk membahagiakan anak perempuannya yang satu tu. Apa saja yang terpacul dari mulutnya akan di turuti papanya. Tahun ni juga anak itu mulakan kempen bersukan dengan menyertai Taekwando. Semangat gila masa tu. Yang maknya mestilah mengharapkan supaya dia teruskan sampai ke satu tahap yang tinggi. Mana tau boleh wakil negara ke kan??? Hahahah!

February 2014

Alhamdulillah tekanan darah aku makin stabil. Masa tu aku dapat tahu yang sebenarnya tulang kat tengkuk aku ni bercantum sejak lahir. Percantuman ni membuatkan disk rawan antara tulang yang seterusnya terhimpit dan mencucuk saraf tunjangku. Patutlah aku ni asyik rasa kebas tangan kanan dan jalan pun boleh tersandung tanpa sebab. Itu antara komplikasi yang aku hadapi selain dari tekanan darah tinggi. Jadi sekarang ni aku kena makan ubat hari hari. Ubat darah tinggi, vitamin untuk saraf dan ubat untuk kawal kolestrol. Doktor ada bagitahu aku kemungkinan untuk aku lumpuh dari leher ke bawah sangat tinggi kalau disk tu makin terhimpit. Dia sarankan untuk buat pembedahan menggantikan disk tu dengan implan. Cuma satu yang aku fikirkan waktu tu... kalau aku buat pembedahan tu, aku akan pakai brace leher sekurang kurangnya 6 bulan... siapa nak jaga En. Teddy??? Masa tu aku buat keputusan... kalau 40 tahun baru nampak komplikasi ni, mungkin aku masih ada 20-30 tahun lagi sebelum aku lumpuh... entahkan masa tu ada ke nyawa aku lagi. Cuma aku harap aku takkan susahkan sesiapa... lebih lebih lagi anak anak aku.

7.2.14 - waktu aku di pejabat, aku dapat panggilan telefon dari mak aku, bagitahu yang makcik aku meninggal dunia. Aku hilang tempat aku mengadu sebab aku sangat rapat dengan dia. Dia sepatutnya buat pembedahan hari tu, komplikasi kanser uterus yang dah merebak ke usus dan rahim dia. Allah s.w.t. lebih sayangkan dia dan aku tahu dia takkan dapat hidup gembira sepenuhnya kalau pembedahan itu berjaya. Penjagaan post pembedahan tu pasti merunsingkan dia sebab terpaksa memakai beg najis sepanjang hayatnya. Dan dia yang aku kenali, pantang sekali untuk nak menyusahkan sesiapa, lebih lebih lagi anak anaknya. Sungguh aku sangat sangat rindukan dia. 

March 2014

Aktiviti menguruskan berat badan di teruskan. Selalunya aku akan kalah sebab En. Teddy suka sangat bagi aku makan. Nafsu dia tajam, selera dia kurang. Kang dah beli banyak2 siapa yang kena habiskan? Aku jugak!!! Aku jenis memang tak suka nak membazir makanan. Kekadang tu aku simpan dalam freezer berminggu minggu. Tapi kalau dah simpan dalam freezer tu, memang aku sorang jelah yang makan. En. Suami tak boleh makan, kang gaot lak. 

Bulan Mac ni jugak, MH370 hilang dari angkasa. Misteri tak terjawab hingga ke hari ni. Kemana agaknya? Macam macam tohmahan di lemparkan. Spekulasi demi spekulasi yang banyak antaranya menyakitkan hati bila ku baca. Aku pun pernah kerja MAS dulu, aku terasa bila ada yang menyebut dosa pahala dan bala. Macamlah diorang tu suci sangat kan?? Apa diorang tu dijamin syurga ke? Sedap mulut berbahasa. Apa pun bagi aku yang tahu sakit perit mereka yang berhadapan dengan 1001 macam karenah manusia setiap hari demi mencari rezeki untuk diri dan keluarga, aku cuma dapat titipkan Al-Fatihah walau di mana saja mereka berada.

Aku daftar semula sebagai pelajar OUM.. cuba untuk menghabiskan pengajian yang lama aku tinggalkan. Memang otak rasa tepu gila. Betullah mereka kata dari awal lagi, jangan tinggal satu semester pun. Sesak macam mana sekalipun, buatlah satu subjek. Supaya momentum tu berterusan. Yang aku ni dah tinggalkan 4 semester kot... mananya tak tepu. Sampai tak tahu dari mana nak mula.

En. Teddy masuk ICU lagi. Kali ni kali ketiga sejak aku jadi suri hidupnya. Kali ketiga ni pun agak teruk sampai masa dia masuk pun doktor dah kata yang peluang dia sangat tipis. Akhirnya, En. Teddy mengalah dan benarkan dirinya di tebuk untuk buat dialisis. Aku redha... dari awal perkahwinan lagi aku dah setkan minda aku, aku bersama dia untuk melengkapkan hidup dia. Memberi dia peluang untuk merasa adanya isteri, merasa menjadi seorang suami dan ayah. Setiap hari bagaikan aku berdepan dengan bom jangka yang akan meletup bila bila masa. Tapi setiap hari itu jugalah aku dilimpahi kasih sayang yang tak bertepi dan aku berusaha supaya setiap hari yang aku ada dengannya tidak sia sia. Dan kerana ini jugalah aku tolak buku pengajianku  ke tepi. En. Teddy lebih memerlukan perhatian aku. Dan kerana ini jugalah, birthday jantung hati ku di sambut di hospital. Nasib baik lah ada kawan baikku, Zailina datang dari jauh untuk bawakan kek buatnya. Nak harapkan aku... semangat aku sendiri terumbang ambing.


April 2014

Akhirnya En. Teddy pulang kerumah selepas hampir 3 minggu bertarung nyawa di hospital. Bermula jadual baru dengan appointment dialisis seminggu 3 kali. Awal-awal akulah yang menghantar dan menunggu dia. Tapi semangat dia sangat kuat supaya tak susahkan aku kena sentiasa ambil cuti. Dia kuatkan diri untuk pergi sendiri, tapi balik tetap aku yang jemput takut dia letih lepas dialisis. Badan dia susut gila! Sebelum masuk hospital tu, kami ada pergi shopping baju dan kasut raya dia. Alih alih semua pun kena kecikkan. 

14.4.14 - Aku dapat anak buah baru. Aryanna Zaheyra, anak kepada sepupu aku Tasha. Bertambahlah lagi waris Marsini, menggantikan nenek dia yang pergi bulan Februari. Bila aku tengok sepupu aku ni, ada perangainya yang sama macam aku. Aku cuma boleh doakan dia kuat untuk menghadapi hidup sebagai ibu tunggal sebab bukan mudah. Apa yang aku boleh tolong, aku tolong. Alhamdulillah dia dapat sokongan penuh dari adik beradiknya dan dari keluarga aku.

May 2014

Tak banyak yang berlaku di bulan May. Rutin harian yang berubah dengan appointment dialisis, appointment doktor untuk En. Teddy, untuk aku tidak juga menghalang kami dari pergi menonton wayang dan makan di luar. Tapi setakat itu sahaja... En. Teddy selalu mengadu penat, badan dia sakit dan gatal gatal. Kami dah semakin jarang balik ke Seremban sebab dialisisnya hari Sabtu. Jadi bila dah penat tu, tak lalu dia kalau aku ajak balik.

June 2014

June biasanya bulan yang paling happening bagi aku. Birthday sang nyawa, birthday En. Teddy & anniversary kami. Tahun ini kami sambut birthday En. Teddy 2 kali. Kali pertama aku dan family aku buat surprise untuknya dia satu restoran cina muslim di area Taman Melati. Rancangannya aku ajak family En. Teddy sekali. Tapi kerana ia hari Jumaat dan ramai yang bekerja, mereka tak boleh join. Masa pergi kat sana, aku dan ayun tak ada kata apa apa pun, cuma ajak dia keluar makan. Bila sampai kat sana, dia heran gak sebab aku pilih meja yang agak besar tapi tembelang kami pecah bila waiter tu tanya sama ada kami nak order dulu atau tunggu yang lain sampai. Tak lama kemudian mak dan adik beradik aku yang lain sampai dengan kek. Sepupu aku Tasha pun ikut sekali. Aku bahagia kerana dapat mengembirakan En. Teddy walaupun dengan surprise yang tak berapa nak menjadi.

Esoknya pulak, mak En. Teddy nak datang untuk raikan hari jadi anaknya itu. Aku pun halo lah mak aku dan tengok sama ada dia nak join sekali dan minta dia cadangkan tempat makan. So kami semua pergi makan kat Rahman Palace. Semua adik beradiknya ada, mak ayah dia, mak dan adik adik aku serta hampir semua sepupu aku dari keluarga mami. Dia makan segala apa pun, maklumlah buffet kan? Aku risau tengok dia makan seafood takut nanti kena gaut lak. Tapi dia tibai aje semua.

Balik malam tu kami tak tidur sangat... entah kenapa dia nak bercerita. En. Teddy luahkan segala isi hatinya, harapan dia nak bawak mak, ayah dan aku pergi buat haji, harapannya tentang rumah di Seremban, tentang aku dan anak anak, tentang mak ayah dan adik adiknya... Aku ni macam antara dengar dengan tidak sebab terlalu mengantuk... tapi yang aku sangat ingat kata kata sebelum aku terlelap tentang aku dan hubungan kami.

Hari Isnin, En. Teddy bagitau aku dia nak pergi ke padang, jumpa dengan budak budak NSW yang training kat padang Merbok. Dia sibuk dengan tu walhal aku suruh dia isi borang untuk permohonan Hemodialisi melalui SOCSO. Alih alih dia tinggikan suara marah marah aku bila aku kata borang tu kena bawak ke Bank untuk pengesahan pegawai. Entah kenapa hari tu aku rasa kesabaran aku sangat sangat tipis. Terus aku tinggi balik suara kat dia, aku hempaskan pen dan borang tu dan aku keluar pergi kerja. Dia cuba pujuk aku naik motor dengan dia, aku buat keras hati. Aku meluru pergi dengan motor aku. Sepanjang hari aku tak menjawab telefon atau message darinya. Tak tahu kenapa aku marah sangat sangat.

Balik daripada padang, dia datang memujuk aku. Lerai rajukku bila dia mengusik. Lepas tu dia ceritakan tentang Abg Midon yang nak bersara, dia ceritakan semua tentang pengalamannya hidup di jaga Abg Midon dan kisah kisah gemilangnya bersama NSW, bersama Botak dan Unta. Aku dah dengar berkali kali tapi tetap aku tadahkan telinga sebab aku tahu dia rindu nak main. Last last dia tanya aku ada tak cara nak balut leher dia supaya tiub untuk dialisis di leher tak tercabut. Rupa rupanya dia buat plan nak naik untuk NSW Legend di Royal 7 weekend tu. Apa lagi, bisinglah aku. Dia minta sangat sangat, nak balik Seremban... nak pergi padang dan kalau boleh dapat tendang bola ragbi tu sekali pun cukup. Tergambar keinginannya sangat kuat di mukanya... aku tak sampai hati. Aku minta dia janji, just tendang untuk permulaan kemudian keluar padang. Dia peluk aku kuat kuat, happy sangat sangat.

Hari Rabu malam, dia mengadu sakit perut... muntah muntah angin... Sepanjang malam aku urut perut dia, urut belakang dia. Bila dah pukul 4 pagi, dia suruh aku tidur sebab esoknya nak kerja tapi dia masih berulang alik ke bilik air untuk muntah.

Hari Khamis pagi, aku tengok dia masih terbaring walaupun dah pukul 7.30 pagi. Aku tanya sama ada dia akan pergi kerja tak, sama ada dia okay ke tak. Dia cakap dia akan pergi office tapi kalau dia tak larat nanti dia akan balik. Dia suruh aku pergi dulu. Berat hati aku nak tinggalkan dia tapi aku dah tak ada cuti lagi. Dalam pukul 10.30 dia call, dia kata nak balik rumah sebab dia rasa letih sangat. Aku fikirkan mungkin sebab dia tak tidur semalaman. Aku tanya dia nak aku balik tak, dia kata tak payah sebab dia cuma nak tidur sebelum pergi dialisis. Tak lama lepas tu pusat dialisis call, kata ada kekosongan tengahari kalau En. Teddy free. Aku call dia balik tanya, dia kata dia akan pergi.

Sampai kat dialisis center, En Teddy whatsapp aku. Dua hari sebelum tu orang yang yang cucuk tangannya sampai bengkak. Jadi hari tu Iqa yang cucuk, tak ada masalah apa apa pun. Rajin pulak dia berborak dengan aku pakai whatsapp, selalu tu dia tidur je... Dalam pukul dua setengah dia dah senyap. Aku pun tak fikir apa apa sebab ingatkan dia mesti tertidur. Dalam pukul 4 lebih centre call aku, Su cakap En. Teddy crash. Aku bergegas terus ke sana. Sampai kat sana diorang beritahu aku En. Teddy dah di hantar ke ICU. Berbunga harapanku sebab aku yakin dia tak apa apa sebab kalau tak mereka takkan hantar ke ICU. mereka akan hantar ke rumah mayat. Sekali lagi aku berlari ke ICU pulak. Sampai kat sana aku merayu nak masuk, tapi nurses tak nak bukak pintu. Aku tekan loceng berkali kali, nurse kata tengah buat procedure. Aku yang dah selalu berkampung kat situ memang rasa bengang sebab aku tahu kadang kala nurse ni saja bagi alasan sebab mereka nak tukar shift.

Aku mengalah... aku duduk sampai aku nampak Hafiz dan Irfan keluar. Terus aku meluru dan tanyakan pada mereka. Tak seorang pun nak cakap apa apa. Tapi Hafiz bawak aku jumpa Dr Moy. Bila aku tanya, Dr Moy dengan segala lembabnya minta maaf dan bagi tahu aku yang mereka dah cuba buat yang terbaik. Dia cakap En. Teddyku dah tak ada dan mereka sedang bersihkan dia. Aku tak percaya, aku maki Dr Moy, aku cakap aku nak jumpa dia jugak. Aku tahu kalau dia dapat tengok aku, selemah mana pun dia, dia akan fight untuk aku sepertimana dia fight selama ni. Hafiz tenangkan aku dan cakap kat aku yang Teddyku betul betul dah tak ada. Tak ada air mata, tak ada rasa apa apa, aku tak terkata apa apa....

Dr Moy suruh aku tunggu sampai mereka selesai bersihkan dia. Aku telefon mak aku dan mak dia. Terngiang ditelinga aku suara mak dia... aku boleh bayangkan bagaimana remuk hatinya sepertmana aku kalau itu anakku. Aku telefon semua mereka yang berkaitan. Akhirnya aku dapat tengok dia. Di wajahnya ketenangan. Seolah dia tidur lena tanpa ada sakit apa apa. Barulah air mataku mengalir tanpa henti. Di hatiku hanya satu... En. Teddyku tak sakit lagi.

Dia ku bawa pulang ke Seremban di mana keluarganya menunggu. Aku serahkan segala urusan kepada keluarganya. Dia di kembumikan keesokkan hari, hari Jumaat yang penuh keberkatan, di Tanah Perkuburan Senawang. Aku pulang KL setelah selesai tiga malam tahlil. Aku terus isikan masa aku dengan kerja. Aku rasa diri aku mati sekali dengannya. Tak ada rasa apa apa, kecuali sakit di dada yang amat sangat. Segala yang berlaku sejak akhir akhir ni bermain di mataku macam cerekarama. Aku bersyukur dapat penuhi semua permintaannya, dia dapat makan segala apa yang dia nak termasuk pulut kuning dan rendang daging masa abg sebelah rumah aku ni buat kenduri nak sambut Ramadhan, aku bersyukur aku dapat melengkapkan hidupnya, dapat dia merasa ada isteri dan anak anak yang sangat mesra dengannya. Aku tak tahu sama ada aku boleh hidup normal semula sebab aku tak tahu nak berfungsi kecuali untuk menjadi isterinya dan ibu untuk anak anakku. Aku berpaling pada Pemilikku untuk kekuatan kerana aku percaya tak ada satu apa pun yang Dia rancangkan untukku itu tak ada hikmahnya dan aku yakin Dia akan gantikan apa saja yang Dia ambil dengan sesuatu yang lebih baik untukku.

Ulangtahun perkahwinanku berlalu dengan segala kekosongan dalam jiwaku. Tak ada satu detik pun yang berlalu tanpa aku terasa bayangannya. Terasa seperti dia masih ada. Baunya di mana mana. Tiap masa aku rindukan dia tapi tiap masa juga aku bersyukur kerana dia dah tak sakit lagi.

July 2014

Aku dapat cucu!!! Anak kepada anak buahku di Ulu Yam. Rasanya macam baru semalam dia bermain di hadapan mataku. Kini dia seorang ibu. Semoga dia dapat menjadi seorang ibu yang baik untuk anaknya yang ini dan anak anaknya yang akan datang.

Aidilfitri datang dan rutin kami ke kubur bertambah dengan menziarah makcikku dan En. Teddy. Tak ada keriangan dan gelak ketawa besarnya di malam raya. Tak sempat dia memakai baju yang di belinya untuk raya. Aku sendiri pun tak beli apa apa. Cuma memakai baju yang di belikan mak En. Teddy. Dibelikannya sedondon dengan anak anakku. Kalau tak ada dia, tak adalah baju raya pun untuk anak anakku sebab aku langsung tak ada hati nak beli apa apa atau sambut apa apa. Kenduri 40 hari dia jatuh pada Hari Raya ke-dua. Aku uruskan dengan keluargaku di Keramat. Terima kasih aku tak terhingga kepada mereka dan keluarga En. Botak NSW kerana hadir.

Satu lagi nahas membabitkan MAS berlaku bulan ni. MH17 ditembak jatuh di ruang udara Ukraine. Macam biasa aku tengoklah crew manifest. Masa MH370 tu aku tak cam sesiapa, tapi kali ni ada satu nama yang sangat sangat aku kenal... Azrina Yakob. Aku pernah kerja dengan dia di MH dulu. Dia LS aku dan kami selalu dapat nightstop panjang bersama. Dia tak macam yang lain so memang boleh ngamlah dengan aku. Selalunya kami akan keluar makan dan lepak kat bilik. Paling paling pun keluar beli barang.. macam kalau kat KK, kami akan pergi pasar beli udang kering la, ikan bilis la untuk bawak balik. AlFatihah untuk beliau dan rakan rakan lain dalam MH17. Sekurang kurangnya jasadnya dapat kembali dan di kebumikan, kuburnya bertanda tidak seperti nasib MH370 yang masih belum di jumpai.

August 2014

Hari yang silih berganti bagi aku sama aje tanpa En. Teddy. Route yang aku ambil pergi kerja tetap sama, cuma di hiasi dengan airmata dan rasa sebak yang amat sangat. Berapa lama aku membonceng motor dengannya, berapa lama pula dia follow motor aku di sebelah kananku. Selalunya aku akan nampak dia bila aku pandang cermin sisi, sekarang tak lagi.

Aku dapat offer kerja di tempat lain. Otakku meronta nak pergi sebab ini peluang aku untuk mengubah pemandangan tapi hati ku rasa sangat sangat berat sebab di sini semua kenangan aku dengan En. Teddy. Memang dah jadi satu perangai aku bila ada masalah, aku akan ubah segalanya. Kerja, tempat tinggal & persekitaran. Reflect, review, reset, restart... itu motto hidup aku. Aku pulak jenis yang mudah lupa. Bagi aku mudah saja untuk aku lupakan perkara yang menyakitkan dan mulakan hidup baru aku. Tapi kali ni sangat susah bagi aku. Aku tak nak lupa, aku nak ingat En. Teddy sampai bila bila. Aku tahu aku ni tak layak tapi mana tahu aku dapat jadi bidadarinya nanti.

Sebab rutin harian aku sekarang dah berubah, aku terpaksa cari sesuatu untuk sibukkan diri. Dapatlah pulak hobi baru dengan buat gelang tangan getah. Mulanya sijantung hati le punya kerja. Last-last aku yang lebih. Berhabis duit beratus-ratus ringgit untuk beli kelengkapan dan bahan bahan. Sampai ada yang ku hantar pada kawan di USA sebab dia nakkan gelang yang aku buat.

September 2014

Pertama kali aku dapat jejakkan kakiku ke KLCC Skybridge. Gila lama nak pergi tapi nasib baiklah ada kawanku dari sekolah rendah di Kelantan dulu yang aturkan bersama rakan rakan yang lain. Kadang kala FB ni aku rasa ada baiknya, especially bila dapat temukan kawan kawan lama. Tapi bila aku dengar cerita kisah school reunion ni sampai ada yang bergaduh laki bini, aku jadi heran. Bagi aku pokok pangkalnya hati. Selagi isteri itu tahu akan kedudukannya dan si suami itu yakin dengan kasih sayang isterinya, insyaAllah tak akan ada apa apa yang berlaku. Tapi kalau hubungan tu sememangnya dah goyah, tak payah ada reunion pun akan retak jua.

Hampir 100 hari En. Teddyku tinggalkan aku... dia datang dalam mimpiku. Aku selalu gurau dengan dia yang bagi aku dia macam Afdlin Shauki. Dalam mimpiku dia datang sebagai Afdlin, tapi fizikalnya dia. Aku peluk dia kuat kuat dan aku rasa dia peluk aku balik macam mana dia selalu peluk aku. Dia cakap sayang aku, tapi mulut dia tak bergerak. Masa hayatnya aku ni bagai cicak yang melekat kat dinding bila aku dengan dia... sentiasa melekat. Sampai masa dia kat hospital pun aku akan tidur kat katil dia. Bila nurse nak kejutkan aku suruh aku beralih tempat, dia akan marah balik nurse tu. Dalam mimpi aku tu aku tetap melekat kat dia. Aku nangis, dia pujuk. Aku buka mata... dia tak ada tapi bantal aku basah dengan airmata. Kata kata akhirnya suruh aku jangan nangis lagi, suruh aku senyum. Lagi kuat aku nangis adalah!

October 2014

Aku ni sebenarnya tak pandai berniaga... arwah tok mak aku pun pernah cakap dengan aku yang tangan aku ni tak ada retak berniaga. Tapi gatal juga kan??? Dah lama aku minat dengan patchwork designs, pas tu ada pulak orang jual quilt dengan design tu. Tapi aku dok fikir rumah aku tu bukannya ada aircond, sejuk pun selimut tak pernah aku pakai. Jadi buat apalah nak quilt bagai. Keluarga Ulu Yam aku nak beli tapi diorang jual dengan cara borong, maknanya kena amik sekurang kurangnya 10. Bila diorang cadangkan pada aku untuk gunakan quilt tu sebagai cadar, memangla aku terkinja-kinja nak kan??? Memang berbaloi sangat sangat sebab aku tak perlu nak susah susah kemas katil. Cadar quilt tu melekap cantik pada katil dan memang tak perlu nak susah payah kemas... kecuali katil sinyawa aku la. Dia tu letak apa kat katil dia pun boleh tertanggal. Heran aku... tidur macam mana agaknya? Ngigau ke sampai ganas sangat? Nak di jadikan cerita aku tunjuklah gambar gambar cadar aku kat jiran meja sebelah aku di pejabat. Di canangkannya satu opis supaya aku boleh dapat minimum 10 untuk dia beli jugak. Sudahnya aku jadi serba salah sebab kat opis aku tu memang berat sikit hal berniaga macam ni. Tapi kalau ansuran, ada gak yang minat. So jadilah aku bini bangla jual cadar dan carpet (carpet pun ada patchwork design)

Aku ni dah dua tahun pegang lesen L untuk motor. Hahahaha!!! Sebenarnya kalau nak di ikutkan lesen L aku tu dari tahun 1994. Tak pernah sekali pun aku pergi test, asyik dok renew je... dua tahun sekali aku pergi daftar kat sekolah memandu. Testnya tak jugak. Ceritanya masa aku mula mula belajar motor tahun 1994 tu, badan ni kecik tapi hati besar. Amik B full aje. Pas tu beli motor Kawasaki ZZR. Masa tengah belajar motor pakai motor polis trafik... last2 jatuh kat titi, kaki aku tersepit antara titi dengan motor, tak boleh angkat. Motor ZZR aku pulak, himpit aku masa nak parking depan rumah mak aku. Dahlah aku terjerit jerit mintak tolong. Datang adik aku Budi, dia gelakkan dulu baru dia tolong angkat... Hampeh betul! Sebab tulah aku tak pernah pergi test dan lama aku tak bawak motor.

Kerja kat Jalan Raja Chulan ni memang memaksa aku review balik cara aku nak pergi balik kerja. Jem hari hari tak ingat... parking pun mahal gila. Gaji aku berapalah sangat nak bawak kereta hari hari. So aku beranikan diri beli Si Pinky awal 2012 dulu... Yep, aku beli pakai lesen L... dan selama ini aku memang tak amik amik test lagi. Dan pada bulan October nilah akhirnya aku nekad mesti amik test... walau apa pun jadi. Aku daftar untuk belajar bulan Mac... Kalau En.Teddy sihat, dia temankan tapi biasanya aku pergi belajar sendiri. Berapa lama aku belajar, sekali pun aku tak pernah jatuh. lagi dua hari nak test boleh pulak aku jadi Superwoman. Terbabas kat laluan 8, langgar tembok dan terbang. Kalut jugak instructor aku. Hah.. kalau nak tahu instructor aku ni adalah orang yang sama jadi instructor aku masa 1994 dulu. Abang Dollah dengan Fauzi. Si Fauzi dah jadi pengarah kat situ, Abg Dollah masih mengajar. Dulu kami rajin pergi karaoke lepas aku belajar kereta/motor. Sekarang ni masing masing dah tua... tarik nafas pun semput, apa lagi nak nyanyi hahaha!

Akhirnya aku pergi test lesen motor! Lulus jugak. Kalau aku tahu dari dulu lagi aku dah pergi test, sengal! Dan aku tahu En. Teddy pasti tersenyum dan ketawa besar bla aku tunjukkan slip test aku.

November 2014

Company aku buat Annual Dinner kat Lexis PD. Memang bilik dia cantik tapi makanan macam hampeh. Mahal nak mampus. Langsung tak seronok. Tapi budak budak happy le sebab ada jakuzi dalam bilik. Si jantung hati berendam tah sampai pukul berapa. Aku balik dari dinner, diorang dah tidur. Aku keluar balik jalan jalan kat pantai sebab masa En. Teddy ada itu yang kami suka buat. Dia suka mandi laut. Ada satu hari tu kami drive sampai Pengkalan Balak just nak cari pantai yang releks dan tak ramai orang. Nak subuh baru aku balik hotel.

9.11.2014 - Aku jumpa kawan baik aku yang tersangat lama aku tak jumpa. Dari sekolah di Seremban tapi dia sekolah lain. Kalau balik K.L selalu balik sama-sama & hangout. Aku sangat respect dia sebab dia tak pernah cuba ambil kesempatan di atas persahabatan kami dan aku sangat senang berbual dengan dia coz kami boleh berbual tentang apa saja topik dalam dunia. Aku selalu cemburu dengan dia dan dunia lautnya. Semoga dia bahagia dalam kehidupannya dan terus kekal sebagai sahabatku hingga ke akhir hayat.

November ni jugak aku gila beli perfume. Kebetulan ada sale kat Weld depan office aku. Sale tu seminggu, tapi aku cuma pergi hari yang last, hari Jumaat, setengah jam yang terakhir. Kat situ mamat salesman ni beria ia melayan aku. Disebabkan Buy 1 Free 1, aku beli 2 dapatlah 4. Si salesman ni hantar aku sampai cashier, siap bagi name card kat aku. Beria ia suruh aku contact dia, nanti dia akan bagi aku perfume free.

Lepas beli perfume tu aku pergi main badminton. Hahahaha!!!! Bersukanlah sangat kan?? Opis aku sewa court kat Sekolah St John untuk staff bersukan setiap hari Jumaat. So 28.11.2014 ni kali kedua aku pergi court dan kali pertama aku main badminton. Dah lama dah staff aku ajak aku pergi tapi aku bagi alasan tak ada reket dan tak tahu main. Abang Azmi beria ia pulak bawakkan reket untuk aku, nak pastikan aku tak ada alasan lagi. Akhirnya ku mengalah juga. Dia lah yang jadi coach aku.

So dalam aku break dari bermain tu aku hantarlah message kat si salesman tu, ucap terima kasih.. dengan harapan dia akan kotakan janjinya untuk bagi perfume free kat aku. Panjang pulak ceritanya sampai nak jumpa aku. Fikir aku no harm la kan... kalau dia setakat nak berkawan. Dia ajak dinner esoknya.

Bila aku jumpa dia, dia bercerita tentang diri dia, tentang kerja dia... dan kenapa dia nak sangat kenal aku. Sebenarnya dia bukanlah salesman tapi cam area manager gak lah. Tengok cara dia aku teringatkan arwah Din, kawan aku yang kerja Shakey's dulu. Cam banyak lak persamaan diorang. Dia cerita tentang arwah wife dia yang seiras aku. Aku pun hmm kan ajelah sebab dah masak sangat dengan kata kata lelaki ni. Dia tak tanya pun nama aku sepanjang kami berbual. Part tu aku pelik. Tapi aku ceritakanlah jugak tentang diri aku tanpa aku sebut nama aku. Aku tak ada selindung apa apa dan aku ceritakan kat dia pasal En. Teddy. Nasib kami hampir serupa coz both pergi dalam keadaan kami masih dalam awal perkahwinan.

Lepas tu kami singgah Domino's sebab anak anak aku nak makan pizza. Masa kat kaunter tu, aku bagilah nombor telefon aku kat cashier tu then cashier tu sebut nama aku. Lepas dia bayar dan kami keluar dari situ aku tengok dia kesat air mata. Hati aku kata "Dah apa hal lak mamat ni???" Dia diamkan diri padahal sebelum tu dia yang banyak bercakap. Sampai kat area rumah dia berhentikan kereta, aku tanya dia kenapa. Barulah dia jawab yang arwah wife dia sama nama dengan nama aku. Tapi panjang lagi... dia sebut tapi aku tak ingat. Panjang benor... Dari situ aku jadi yakin yang dia tak main main masa dia kata aku iras arwah wife dia.

December 2014

4.12.2014 - Convo sinyawa. Penat lelah dia selama 4 tahun terlerai jua. Dia pun dah mula kerja. Alhamdulillah. Aku sentiasa doakan kebahagiaan dan kejayaannya dunia dan akhirat. Semoga dia terus menjadi insan yang memberi manafaat di dunia ni. Tapi dia perlu teruskan pengajiannya. Dan insyaAllah aku akan sentiasa berusaha membantu sedaya ku. Sebagai ganjaran, aku bawak bercuti kat Lost World of Tambun. Memang jauh beza dari Sunway Lagoon tapi boleh lah. Pakej diatur oleh cousin aku yang kerja dengan GMC Travel. Masa nak ambil entrance pass tu ada miscommunication gak tapi diorang settlekan. Thumbs up pada both Lost World of Tambun & GMC Travel. Apa pun kami enjoy dan aku sangat sangat enjoy Spa by Night, i.e dok berendam dalam Hot Spring. (Macamlah kat Selayang tak ada Hot Spring kan??)

16.12.2014 - Hari jadi aku. Sebelum tu mak aku celebrate hari jadi aku awal dengan buat makan makan kat rumah. Mak, abah dan adik beradik dari Seremban pun datang jugak. Sepanjang malam aku tahan air mata. Aku dah umur 40 dah... Kalau dulu aku bayangkan aku umur 40 dah established. Ada suami yang menjaga aku, ada anak anak bersama dengan aku, aku boleh jadi surirumah dan fokus pada keluarga dan belajar agama. Tapi hakikatnya Allah s.w.t dah ada rancangan yang lain buat aku. Aku masih sendiri, masih terumbang ambing. Masih kerja macam nak rak dan masih belum dapat habiskan mengaji.

Tapi Life begins at 40... kata kata itu macam kena dengan hidup aku. Masa keluar celebrate birthday aku, En. Salesman propose... aku tak terkata apa apa. Tapi yang buat dia lain dari orang lain coz dia propose guna jam. Bukan guna cincin. Dia cakap cincin nanti family dia yang akan hantar bagai tapi jam ni adalah lambang permulaan baru hidup aku. Dia minta aku menghargai setiap masa yang ada dan sabar menunggu dia. Dia tak janjikan aku masa untuk selalu bersama coz dia seorang workaholic tapi dia berjanji untuk pastikan aku terjaga hingga ke akhir hayat. Aku pula minta dia masa untuk aku fikir... sebab bagi aku jauh terlalu awal. Aku baru saja hilang En. Teddy dan masih lagi merasakan dia ada bersama aku walhal En Salesman dah lama kehilangan Azuranya. Aku just bagitahu yang aku perlukan masa dan aku tak nak fikir lagi tentang kahwin buat masa ni. Dia tak nak mengalah sebab dia kata tak nak kehilangan Azura buat kali kedua. Aku sound dia yang aku milik Allah s.w.t, bila bila masa aje Dia boleh ambil aku. Tapi dia lak berdebat sebab aku ni milik Allah s.w.t dan kalau Allah s.w.t dah tuliskan jodoh aku dengan dia, kami akan disatukan juga. Kalau dulu En. Teddy propose aku dalam Skype just lepas 3 hari setelah kami bertemu semula dan aku terus kata InsyaAllah, yang ini aku tak kata apa apa langsung. Dalam fikiran aku dapatkah aku bersama En. Teddy di akhirat nanti kalau aku kahwin lain, tapi teringat pulak kata kata seorang kawan baik aku, itu juga rahsia Allah s.w.t. So aku terus diamkan diri aje. Bagi aku biarlah Allah s.w.t dan masa yang tentukan. Semua tu rahsia Dia.

Tapi ada orang cakap, perkara yg senang dapat, senang juga hilang.  Baru aje sebulan, En. Salesman mula tunjuk belang. Aku bersyukur sangat2 Allah s.w.t nak tunjuk kebenaran. Dan dengan kebenaran itu Dia bagi aku buat pilihan. Aku pilih untuk tetap setia kepada En. Teddy ku, biarpun fizikalnya dia tiada tapi sentiasa ada dalam setiap hela nafasku.

Itulah cerita 2014 aku. Panjang sangat post ni dah. Untuk 2015 aku akan cuba tulis by monthly basis. Jadi tak delah berhari hari aku nak mengarang. So kepada sesiapa yang rajin membaca dan yang nak masih sudi nak membaca cerita aku akan datang, aku ucapkan Selamat Tahun Baru dan semoga kalian sentiasa menemui kebahagiaan dalam lindungan Allah s.w.t.

Reflect, review, reset, restart... Praying for a better year in 2015. Wish me luck.





















The Fault In Our Stars

Assalamualaikum...

Sejak pertama kali dia melihat trailer cerita ni sebelum movie, dia selalu ingatkan aku yang kami mesti tengok cerita ni.


Dia tak sempat tengok,..

4 bulan 11 hari lepas dia pergi... akhirnya hari ni aku beranikan diri untuk tengok cerita yang ditunggu-tunggunya.

Tidak satu saat pun aku tidak mengingati dia...

Kalau di dalam panggung, dah tentunya dia akan memegang tangan aku... aku yakin dia akan faham setiap perjalanan cerita ni...kerana cerita ni cerita kami...

Dia Augustus Watersku, walaupun sakit sentiasa melawak... selalu buat aku ketawa...

Walaupun dia tahu, dia tak pernah mengalah... malah ikutkan saja kemahuanku untuk berubat apa saja cara yang ada, membiarkan aku mengheretnya pergi setiap appointment doktor, menelan setiap ubat yang aku sediakan setiap hari, memekakkan telinga bila aku membebel kerana terlupa, membisu setiap kali aku merajuk kerana di mataku dia tak pedulikan kesihatan diri dan seolah tak  mahu bersama denganku lagi.

Tapi hakikatnya, segala apa yang dilakukan adalah untuk sehari lagi bersama denganku.

10 Mei 2012 - 19 Jun 2014

2 tahun 1 bulan 9 hari

Begitu singkatnya hubungan kami...

Tetapi 2 tahun 1 bulan 9 hari yang paling bermakna dalam hidup aku. Keikhlasan kasih yang paling mendalam pernah aku rasakan dari seorang lelaki yang tak pernah aku terdetik pun akan terselirat alur hidupnya dalam jalur kehidupanku...

Jodoh, ajal maut... semua ketentuanNya, semua rahsiaNya.. DIA temukan aku dengan orang orang yang salah supaya aku lebih bersedia bila bertemu dengan jodohku yang sebenar-benarnya...

DIA pinjamkan aku kekasihNya yang ini untuk melengkapkan kitaran kehidupan sebelum di ambilnya kembali. Melaluinya, DIA limpahkan kasih sayang yang jujur dan amat mendalam. Setiap saat aku bersyukur dengan peluang yang telah di berikan...

Sehingga saat ini, kasih itu masih lagi terasa... bagi ku, dia masih ada...tetap akan ada...

Dan aku cuma menghitung hari hari untukku bersamanya kembali...


Tiada kata...

Assalamualaikum...

Lama tak ku jengah blog ni. Bukan setakat berabuk, kalau rumah dah lama dah runtuh.

Lama gak aku renung skrin... memang tak tahu nak kata apa...

Bukan sebab tak ada apa nak bercerita... tak tahu dari mana nak mula.

Banyak sangat yang berlaku...

Banyak betul dugaan...

Hidup aku macam dalam bayangan... kanan kiri macam kilasan babak cerita cerekarama.

Aku ada tapi macam tak ada...

Cuma satu yang aku pegang... ALLAH swt sayang aku....

Kenapa???

Nantilah aku cerita...


Hilangnya permata...

Hari ni...
Hilang permata jiwaku
Hilang bintang arahku
Hilang pendengar setiaku
Hilang sahabat sejatiku

Hari ini...
Hilang segala resahmu
Hilang seluruh dukamu
Hilang semua sakitmu

Dia lebih menyayangimu
Dia lebih mengasihimu
Dia lebih tahu apa yang tertulis untuk mu

Walau aku bukan dari rahimmu
Kau adalah ibuku
Aku bersyukur diberikan peluang untuk berbakti kepadamu
Aku redha dengan pemergianmu
Tiada sedikit pun kekesalan yang terkesumat

Doaku kau damai di sana
Bersama mereka yang terpilih
Dijauhkan azab diringankan hisab
Semoga kita akan bertemu semula
Bila tiba masaku pula

Al-Fatihah buatmu Mami
22.3.1954 - 7.2.2014

2014....

Datang dah 2014 ni...

Seperti biasa awal tahun sibuk dgn anak nak masuk sekolah. Alhamdulillah bagi aku semua urusan di permudahkanNya. Habis hampir RM500 jugak untuk anak dara aku yg sorang tu. Tak dapat aku bayangkan keadaan bagi mereka yg beranak ramai. Tapi tentunya rezeki mereka tetap ada.

Mulanya tahun 2014 ni dengan check up kat hospital. Memang bosan. Dahlah Januari ni banyak PH, mc lagi, time slip lagi, AL lagi... berapa hari sangatlah aku kerja. Memang menguji aku. Tak apalah, bukan kah sakit itu kafarah dosa? Banyak dah dosa aku kat dunia ni. Tak terhapus dgn amal ku yg sikit.

Akhirnya aku akan cuma ada 4 boss macam org lain.  Selama ni aku ada 5. Kerja memang tak menang tangan. Kekadang aku terfikir gak, lembab sangat ke aku ni buat kerja sampai tak ada masa nak lepak beborak macam sesetengah yang lain tu. Tapi aku bersyukur sesangat yg bosses aku semuanya understanding. Bagi masa utk aku siapkan kerja. Yang tak understanding tu boss yg aku relief. Lebih sudu dari kuah.

Tahun 2014 ni aku mulakan juga dengan percutian keluarga. Tak kira jauh atau dekat. Bulan ni saja dah bawak si kecik tu ke Sunway Lagoon, Snowalk I-city dan sekarang ni kami kat Langkawi. Semua tempat yg dia sebut nak pergi, dia dapat pergi. Rezki dia... Papa dia tu... marah marah pun, manjakan dia gak. Aku pulak yg jadi stress... dua2 pun tak dengar cakap.

Apa pun aku happy. Dunia kecil ku cukup sempurna, serba sederhana. Syukur dgn apa yg ada. Biarlah org lain nak kejar harta dunia, kami cukup seadanya. Semoga kebahagiaan ini hingga ke akhir hayat ku.

Salam...

Hello again!

Assalamualaikum semua. Lama dah tak tulis apa2... nak kata sibuk, tak jugak... cuma tak ada idea.

Tahun ni aku dapat dua orang anak buah baru. Anak adik perempuan ku, Ryna & suaminya, Hadi. Puteri mereka, Zahra Adryna hadir setelah 10 hari over due. Tabik aku pada adik aku tu. Dah 3 kali induce, masuk labour room berjam-jam, sakit bersalin setengah mati, akhirnya Zahra keluar secara bedah juga.

Kehadirannya menyerikan rumah mak aku. Dah lama tak ada budak kecik kat rumah tu. Oleh kerana adik aku tu memilih untuk berpantang di rumah mak aku, secara tak rasminya mak akulah yang jadi pengasuhnya. Zahra bertuah sebab mak aku tak lagi kerja full time, jadi dapatlah menjaga dia.

Seorang lagi anak sepupu aku Tasya. Anak lelakinya Aiysh kini berjauhan sementara kami berusaha untuk mendapatkannya kembali. Satu perkara tentang keluarga aku ni, sanggup berkerat nyawa dari hilang anak. Tapi sebenarnya mereka hanya pinjaman, sepertimana anak2 aku juga. Satu masa mereka akan cukup dewasa untuk menilai dan tahu akan tanggungjawab mereka.

Anak perempuan aku cukup seronok cuti sekolah ni sebab dapat mengulit Zahra. Perkara pertama mula cuti sekolah aje dia minta aku hantar balik ke Selayang. Dia pula yang mengatur jadual musim cuti tanpa aku dapat bersuara. Rancangan aku nak hantar dia ke kem tak menjadi sebab tarikh tak sesuai dengan jadualnya. Sabar je la budak tu.

Memang setiap kali dia tak ada, rumah jadi sunyi sepi. Memang dia banyak cakap, ada aje ceritanya walau kadang kadang tu annoying sebab dah lari dari realiti. Tak ada satu hari pun nama dia tak terlepas dari mulut papanya... aku hanya mampu gelak. Bila ada, disakat budak tu... tak ada, disebut2.

Yang besar pun tak kurang juga. Walau pun dia tak tau bagaimana nak approach anak yang satu itu sebab mungkin dah dewasa, setiap hari juga di tanya khabar. Bila aku suruh tanya sendiri, tak mau. Sabar je lah.

Hari ni kami turun ke padang berdua. Lama dah tak tengok NS Wanderers main. Bercerita tentang ragbi ni ada satu perkara yang tak ada siapa tahu. Sebenarnya aku sendiri peminat ragbi lama sebelum aku jumpa dia. Dari sekolah aku di tepi padang, bila dah bujang semula pun aku ke padang bila ada kesempatan dan Cobra, Orca, ATM & NSW antara team yang aku selalu tengok... tapi setakat suka tengok je la, tak kenal pun pemainnya. Memang mati hidup balik pun tak pernah terfikir jodoh aku ada di antara mereka. Lebih2 lagi dalam team yang paling kerap aku tengok sebab NSW dulu berlatih di Padang Merbuk.

Jadi aku boleh faham perasaannya yang memberontak nak menyarung jersey. NSW menjadi darah dagingnya sekian lama. Kehebatannya sebagai kicker masih di sebut sehingga kini. Tiada galang ganti. Sayang dia tidak menjaga diri di waktu kemuncaknya sampai masalah kesihatan bertimpa timpa walhal masih muda. Melihat batch dia ada yang masih aktif bermain, aku tahu dia frust. Tak ada apapun yang boleh aku buat, cuma mampu menjadi pendengar yang setia.

Aku redha, aku terima dia seadanya dia. Aku bersyukur di beri peluang bersamanya. Setahun setengah bersamanya banyak mengajar aku untuk lebih santai, lebih bersabar dalam hidup. Tak ada apa lagi nak ku kejar dalam hidup ni, cuma nak pastikan aku selesaikan segala hutang piutang masa lampau aku dan dapat sekali aku mencium bumi Mekah sebelum aku mati. Cukuplah bagiku.

Bagi yang akan ku tinggalkan, semua aku dah atur. Tapi semua cuma rancangan aku, perlaksanaannya terpulang pada pemilikku. Pernah aku ceritakan pada pemegang amanah ku, tapi dia juga ada hidupnya sendiri. Terpulang kepadanya kalau masih mahu memikul tanggungjawab itu. Banyak perkara yang berlaku dalam 2 tahun terakhir ini yang mungkin mengubah keinginannya.

Apapun, aku doakan yang terbaik untuk semua yang ada dan pernah hadir dalam hidupku. Aku memohon maaf atas segala kekhilafanku dan aku ampunkan semua kesalahan sesiapa jika ada. Aku cuma serpihan debu yang menumpang di sudut hidup kalian, seketika tanpa apa apa makna. Diamku tidak bererti marah atau benci. Diamku kerana itulah yang lebih baik. Dan dalam diari maya ini aku menitip segala pesanan, ingatan dan kenangan buat tatapan mereka yang sudi membaca.

Sekian dulu... salam dari aku.